Friday, June 12, 2009

Semester pendek yang penuh dengan KEJUTAN

Semalam, saya menerima dua berita yang menyedihkan. Berita pertama yang saya terima di pagi hari ketika saya berada di dalam kelas. Bapa kepada seorang sahabat saya telah meninggal dunia. Innalillah… sedih. Al- Fatihah buat arwah. Sahabat saya ini saya kenali ketika saya berada di PJ. Kami sebilik sewaktu semester pertama dan kedua. Kami agak rapat. Takziah untuk sahabat saya. Semoga bersabar dengan apa yang dihadapi. Berita kedua saya terima lebih kurang pukul 8 malam. Pensyarah saya berada di ICU, dengan keadaan yang agak kritikal. Ya Allah, saya terlalu terkejut, kerana seingat saya, saya baru saja berjumpa dengan beliau. Saya doakan kesejahteraan buat pensyarah saya ini. Dr Zainurin, orangnya selamba dan senang untuk dibawa berbincang. Saya senang belajar dengan beliau. Pada tanggapan saya usianya tidaklah terlalu tua, tapi segalanya adalah ketentuanNYA. Kita hanya menghadapi apa yang telah tertulis. Semester ini hampir sampai ke penghujung namun banyak yang saya lalui selama tempoh itu. Banyak yang menguji, saya mengharapkan agar beroleh kekuatan setelah banyak melalui ujian.

Tuesday, June 2, 2009

kesedihan hati ini...

Saya melalui sesuatu yang amat menguji. Dan saya merasa kepenatan. Bukan saja fizikal terasa lelah tapi juga mental saya terlalu letih. Saat saya dalam kedukaan dan hati ini dalam rasa tertekan saya terlalu ingin seseorang untuk menjadi peneman. Seseorang yang dapat memahami dan menjadi penguat semangat buat saya. Tapi akhirnya selain keluarga tiada siapa pun yang memahami diri saya dan saya hanya punya keluarga untuk bergantung harap. Kali ini berhadapan dengan urusan keluarga, saya jadi lemah dan saya sebenarnya tak sekuat mana. Kerana kini lilin semangat saya tidak sekuat mana untuk memberi saya semangat itu. Waktu itu, saya tahu tibanya masa untuk saya menunjukkan kekuatan diri saya. Seharusnya saya yang membantu mengurusan adik-adik. Sebolehnya saya ingin menjalankan tugas saya sesempurna mungkin. Tapi kini saya juga sedang berperang di sisi. Tugas ini digalas adik yang sedang bercuti. Saya berada dalam di lema. Andai kata saya berada di rumah, akan saya lakukan tugas ini selayaknya seorang kakak. Saya ingin menjadi kakak yang bertangungjawab.

Tahun ini tahun yang amat menguji, bulan jun baru saja menjelma dan pelbagai benda juga yang terjadi pada saya. Saya harungi jua walaupun hati tertanya-tanya mengapa diri ini yang diuji. Tapi saya sedar, kita tak akan diuji andai kita tak mampu. Di kala saya rasa saya terlalu letih dan hampir pasrah dan putus asa, saya kembali mengingatkan diri agar terus bangun menghadapi apa jua yang sedang terjadi kerana apa yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Hidup tak sentiasa indah, langit tak selalu kelam oleh itu kita sebagai hambaNYA perlu sentiasa redha dan berdoa supaya terus sabar menjalani pancaroba.

Sunday, May 17, 2009

mencari sebuah KESABARAN...

Dugaan memang tak pernah kita jangkakan bila akan berlaku. Begitulah apa yang telah terjadi dalam hidup saya baru-baru ini. Sabar! Itulah yang saya pegang bila ditimpa musibah macam sekarang ini. Tapi kadang-kadang kita sebagai manusia memang kesabaran ada hadnya, dan saya sebenarnya cuba bertahan dengan kesabaran dan ketabahan yang kurang. Dan saya tertanya kenapa benda ini terjadi kepada diri saya. Dan ketika saya tengah “surf” internet semalam, saya terjumpa satu artikel tajuknya lebih kurang “cara menghilangkan hati yang gelisah” kena pulak dengan diri sendiri.

Sebenarnya bukan artikel, pembetulan, macam satu laman soal jawab la. Dugaan itu tak datang kalau kita tak mampu bertepatan denga ayat QURAN, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” ( 2 : 286). Saya sedar mungkin apa yang terjadi ini hanya untuk menguji setakat mana saya mampu bersabar dan adakah saya mampu menjadi hamba yang baik kepadaNYA. Sesungguhnya hamba yang baik itu tak akan pernah bersungut malah bersabar dan redha dengan apa yang terjadi

Dan sifat sabar itu amatlah penting dalam kehidupan kita. Mengapa? Dapat mengelakkan kita daripada stress, membuatkan kita sentiasa bersyukur, dan jika ditimpa musibah dapat membantu kita membuat keputusan dengan bijak dan lebih rational, dengan bersifat sabar kita juga akan mendapat ketenangan jiwa. Kita fikirkan saja disebalik apa yang berlaku kita akan dapat sesuatu yang lebih berharga. ALLAH juga menyuruh umatnya bersabar dan sesiapa yang tidak bersabar itu adalah orang berada dalam kerugian. “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” (103 : 1-3)

Jadi sebagai umatnya kita menerima dengan redha dan bermuhasabah diri. Kalau hati terus merasa gelisah, ingatlah bahawa DIA sentiasa ada untuk kita dan mendengar apa yang ingin kita adukan. Berzikir dan beribadatlah kepada ALLAH apabila hati diserang rasa gelisah dan gundah. Banyak benda yang akan membuatkan kita rasa tenang semula. Ingat selalu ALLAH suka hambaNYA yang bersabar dan redha dengan apa yang terjadi.

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU!

Hari ini 16 Mei merupakan tarikh rasmi buat kita menyambut HARI GURU. Buat GURU-GURU yang pernah mengajar dan mendidik diri ini, selamat saya ucapan DOA saya sentiasa mengiringi hidup guru-guru yang pernah mengajar saya walau seketika. Tanpa kalian siapalah diri ini. Bagi saya perkataan “GURU” atau “CIKGU” itu perkataan keramat. Di mana-mana kita lihat seorang guru akan terus di panggil CIKGU walau beliau telah bersara. Saya amat menghormati kerjaya guru (bukan kerana saya juga bakal seorang guru) tapi jasa guru itu sangat bernilai dan tinggi harganya.


Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga di mana mama dan papa saya merupakan GURU. Saya tahu betapa peritnya tugas seorang guru hari ini. Bukan seperti guru zaman dahulu, yang punya murid yang patuh, penuh disiplin dan juga punya tinggi rasa hormat. Bukan menafikan tugas guru zaman dahulu, masih ada kesusahan yang perlu dihadapi, mungkin cabarannya tidak sama seperti guru pada hari ini. Jika dahulu mungkin cabaran yang terpaksa di hadapi ialah kurangnya kesedaran di kalangan ibu bapa, mungkin juga kesusahan hidup menjadi halangan. Itu hanya 2 sebab yang mampu saya fikirkan. Masih banyak lagi rasanya sebab yang saya sendiri tak mampu atau di luar pengetahuan saya (maklum saja zaman dahulu dan sekarang terlalu banyak perbezaannya).


Berbalik kepada topic guru zaman sekarang, lebih banyak dugaan, lebih banyak halangan lebih tinggi risiko. Bunyi seperti sukar, bagi saya guru yang punya niat ikhlas dan beriltizam tinggi untuk melunaskan tanggunjawab yang dipegang tak akan pernah mengeluh dan dengan penuh dedikasi akan menjalankan tugas sebaiknya. Walau di mana jua mereka ditempatkan guru-guru seperti ini pasti akan terus memberikan yang terbaik. Saya tidak mengerti dan tidak tahu mengapa pelajar sekarang tak pernah untuk menghargai guru mereka. Tapi saya sedar kita tak akan sedar hingga suatu hari kita sendiri akan berkata “ terima kasih,CIKGU”.


Semasa saya di sekolah rendah, cikgu saya sanggup datang pada sebelah petang untuk mengajar kami yang ketika itu akan menghadapi UPSR, masa yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga. Saya selalu ditinggalkam di rumah apabila mama saya mengadakan kelas tambahan. Sewaktu saya bersekolah rendah saya tak terlalu hiraukan keaadaan ini. Tapi sebaik saya melangkah kaki ke sekolah menengah dan menetap di asrama keaadaan ini sebenarnya mengganggu perasaan saya. Saya pernah merasa kecil hati dengan mama saya hanya kerana mama meninggalkan saya di rumah dan mama pergi untuk meluangkan masa dengan anak orang lain. Saya menangis dan dalam hati saya berkata “ mama ada masa untuk anak orang lain tetapi di mana masa mama untuk saya”. Betapa sakitnya hati ini. Waktu itu saya rasa terbuang, bayangkan saya balik hujung minggu kerana ingin bermanja dengan mama, tapi hanya satu hari saya dapat bersama dengan mama. Waktu itu saya baru saja mencecah usia belasan tahun, mungkin kerana di usia remaja kita perlukan perhatian, jadi hati saya selalu terasa dan sakit apabila mama pergi mengajar pada hari Sabtu. Tapi semakin usia bertambah saya sedar, itu tugas mama, itu tanggunjawab mama, bukan saja sebagai guru malah sebagai khalifah ALLAH di muka bumi.


Kesedaran itu datang mencurah-curah apabila saya melihat dan merasa kasih sayang ustazah saya. Ustazah ini sanggup datang pada petang hari juga di hujung minggu hanya untuk mengajar kani dan mengadakan latihan demi menjamin kami mendapat yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan. Ustazah saya kadang-kadang membawa anaknya bersama ketika mengajar dan kadang-kadang ditingalkan di asrama kami. Saya bayangkan perasaan si kecil ditinggal begitu, dan saya tahu suatu hari nanti si kecil itu pasti merasai apa yang saya rasa dan mereka juga kan mendapat kesedaran seperti yang saya rasai. Itu hanya sedikit saja pengorbanan guru-guru saya yang menjadi pedoman dan kenangan buat saya. Semua ini menjadikan saya sedar betapa besarnya pengorbanan seorang insane bergelar GURU. Harapan! Suatu hari nanti saya juga akan dapat berkorban dan berkhidmat sebaiknya. Saya tak ingin selamanya menerangi hidup insan lain. Selagi hayat di kandung badan sungguh saya akan curahkan segala keringat dan kudrat yang ada.

Friday, May 15, 2009

Di Sini Bermula Sebuah Kisah...

Pernah terlintas untuk menulis dan ada blog sendiri, tapi tak pernah tercapai kerana saya selalu hilang semangat dan ‘mood’ untuk menulis dan sehingga sampai satu masa rasa bosan menguasai dan kini hasrat akhirnya tercapai. Terima kasih juga kepada seorang sahabat yang memberi semangat untuk saya membuka blog sendiri. Ilhamnya sudah lama cuma saya tercari sumber pendorong untuk saya merealisasikan hasrat ini. Dan semester pendek bakal memulakan sebuah kisah. Cuma sebagai permulaan saya sendiri belum tahu apa sebenarnya tujuan blog ini. Tapi rasanya terpulang saja pada saya untuk mengendalikan blog ini. Ada juga seorang teman menjadikan blog sebagai luahan rasa yang tak mampu dikongsikan dengan sahabat lain, dan blog adalah rahsia hatinya. Ada pula sahabat yang menjadikan blog sebagai medium untuk menyuarakan ketidak puasan hatinya. Macam-macam kisah sahabat saya. Dari situ saya juga terfikir blog ini boleh menterjemahkan apa saja, ilmiah, gosip, jurnal dan apa saja mengikut kehendak masing-masing.

Ada yang menulis dalam bahasa inggeris, ada juga yang menggunakan bahasa pasar dan bahasa-bahasa remaja masa kini. Saya rasa tak ada salahnya menggunakan apa jua bahasa, tapi bahasa yang di gunakan remaja masa kini (saya juga diantaranya, tapi tak keterlaluan untuk dikatakan saya masih punya rasa cinta pada kesusteraan melayu) merosakkan keaslian BAHASA MELAYU, bahasa ibunda kita. Saya memilih untuk menggunakan BAHASA MELAYU ‘standard’ menyedari kelemahan diri dalam bahasa. Dan beberapa hari lepas, di dalam kelas, cikgu saya telah membuka mata saya bahawa BAHASA MELAYU itu indah. Dan kita sebenarnya leka dengan perkembangan hingga kita terlupa bahawa suatu masa dulu BAHASA MELAYU pernah menjadi lingua franca, dan bahasa ini terlalu indah untuk dihayati. Bukan ingin menafikan kepentingan BAHASA INGGERIS (kerana sampai satu masa saya juga akan menjadi seorang guru bahasa INGGERIS) tapi sebagai seorang MELAYU kita harus bangga punya bahasa yang indah, perlu dimartabatkan dan sebenarnya boleh dijadikan bahasa ilmu seandainya ada yang ingin terus berjuang dan masyarakat sedar akan keperluan untuk mengembalikan kegemilangan zaman BAHASA MELAYU seperti dahulu kala. Saya sedar diri sendiri juga lemah namun masih lagi punya kesedaran dan semangat untuk bangkit memperjuangkan BAHASA MELAYU.