Friday, January 2, 2015

Bila tiba- Ungu




Lagu ini seolah kena dengan situasi kini, memujuk dan mengingatkan aku pada kenyataan kehidupan. Tiada sesiapa jua yang mampu lari, saat ketika dan waktunya tiba.

Rasaku saat itu...

Hospital=kematian... Aku tak mahu kaitkan kematian dengan hospital, sebab banyak kelahiran juga berlaku di hospital. Tapi selama hampir 3 minggu papa di hospital, aku dah dikejutkan dengan dua kematian. Ya, kematian itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasakan kematian. Kadang aku terfikir mana satu yang lebih menyakitkan, sakit yang lama dan mati atau kematian yang mengejutkan. 
Kematian yang mengejutkan itu adalah satu ketakutan kepada yang di tinggalkan kerana kita akan melalui saat yang sukar untuk mengakui, menerima dan redha dengan kematian itu, Sakit dan mati, untuk yang menghadapi ini, mungkin telah sedikit bersedia menghadapi pelbagi kemungkinan termasuk kematian.
Di hospital, selalunya apabila pesakit tiada lagi harapan untuk hidup, doktor akan memaklumkan kepada waris supaya mengumpulkan semua ahli kelurga terdekat. Anak-anak, isteri atau suami, ibu atau bapa. Bagi yang muslim, mungkin doktor menasihatkan supaya di adakan bacaan yasin dan sebagainya. Namun, saat itu terjadi di hadapan mata, apa yang aku rasakan.
Malam kejadian papa diwadkan, waktu itu pelbagai kemungkinan bermain difikiran aku. Semuanya yang buruk-buruk. Di usia 26 tahun, masih senndiri, aku masih banyak bergantung pada papa walau tanpa aku sedari. Malam itu, aku kuatkan semangat. Sedikit air mata pun tak mampu aku titiskan kerana bagi aku, aku kekuatan buat adik-adik yang lain. Saat mama, setia di samping papa, aku yang harus memainkan peranan. Menjadi utuh walau dalam apa jua keadaan. 
Mama juga saat itu membayangkan kepada kami, supaya bersedia dalam apa jua keadaan, termasuk menghadapi kehilangan itu. Jantung bagai hilang rentaknya, lantai terasa tak terjejak, namun aku gagahkan segalanya. Aku yang sulung, andai aku tak kuat, bagaimana adik-adik. Berada di rumah, masing-masing sepi, aku tak mampu menelah setiap fikiran mereka. Adik yang bongsu sebelum ini belum pernah menunjukkan sikap yang susah hati, jadi sepi. Aku memahami perasaan dirinya. Adik yang tengah menangis sebaik kami sampai di rumah. Seorang adik, masih lagi diperantauan. Fikirku saat itu bagaimana untuk aku sampaikan berita padanya, supaya cepat pulang.
Ternyata pagi itu, dia tenang menerima berita. Aku berdoa dalam hati, walau apa yang terjadi supaya sempat dia pulang. Seolah aku beroleh sedikit kekuatan darinya. Pagi itu, saat panggilan mama masuk dan menyuruh kami 3 beradik segera bertolak ke hospital aku jadi gelisah. Kata mama, sejak sampai di hospital papa di tempatkan di "red zone". Malah dia juga tidak di benarkan masuk menanti papa. Aku mungkin bukan seorang jururawat mahupun doktor, tapi bagi aku merah itu tandanya "alert". 
Melihat wajah murung mama mengkhabarkan berita tentang papa meretakkan hati. Ternyata mama juga mengumpul kekuatan dari kami adik beradik. Masing-masing perlu berdiri teguh, menerima apa saja kenyataan. Kami masuk, seorang demi seorang. Dengan pelbagai wayar di badan papa, aku tak mampu bertahan lama. Seketika cuma aku tega berdiri di situ, dan mengundur pergi. 
Doa tak putus-putus kami panjatkan. Diberikan kesembuhan, di berikan kemudahan segala-segalanya untuk papa. Berat untuk aku memikirkan kematian, hati menepis walau secebis lintasan itu, tapi sebagai muslim yang percaya padaNYA, aku perlu menerima. 
Namun, saat papa diusung ke wad, dengan keadaan yang stabil, aku jadi sedikit lega. Allah berikan masa untuk aku terus berbakti kepada papa. Namun, pelbagai dugaan datang. Satu-satu masalah di kesan dan aku jadi takut semula. Kerana, aku tidak mendapat gambaran yang jelas tentang keadaan papa, kerana saat itu tiada sesiapa pun yang datang untuk menerangkan segalanya kepada kami. Maka kami berserah, kami inginkan yang terbaik buat papa.
Hingga kini, papa masih dalam rawatan. Keadaan makin stabil, tapi aku mahu pun sesiapa saja tak mampu menduga apa yang akan terjadi. Dalam hati perlu bersedia menerima kehilangan. Berita yang satu waktu nanti, akan aku terima juga. Walau sebaik mana pun rawatan, wala sehebat mana pun yang merawat, saat terhentinya takdir hidup kita, tak pasti tak mampu untuk menangguh walau sesaat. 
Aku, mama, masing-masing cuba bersedia. Aku sendiri, yang sakit pasti mati, yang sihat juga akan mati. Tinggal menunggu saat dan ketika. Jangan di fikir yang sihat itu, tak mungkin mati, jangan juga di fikir yang sakit itu yang akan pergi dulu. Sesungguhnya Allah punya rancangan palig sempurna buat kita.
Cuma tinggal kita, bagaimana cara untuk menerimanya. Redha dan berserah. Percaya kepada takdir qada dan qadar yang telah tertulis.