Friday, October 5, 2012

Mengutip serpihan kenangan...

Pagi tadi lebih kurang pukul 6.30 aku sampai di UIA, bumi damai yang banyak menyimpan kenangan suka duka aku seorang pelajar universiti. Banyak yang aku belajar dan banyak yang aku lalui. Mencari erti sahabat, mencari erti hidup, mencari erti cinta, mencari erti susah dan duka. Bersama mereka aku lalui semuanya. Indahnya hidup di bumi yang damai ini. 

Di sini aku kenali manisnya cinta, di sini aku kenali pahitnya cinta. Di sini aku kenali si talam dua muka, di sini aku temui sahabat sejati, di sini aku harungi cabaran hidup, di sini aku lalui cubaan hidup.Di sini aku belajar menjadi seorang yang sabar, di sini aku belajar rasanya marah.  Bersama mereka aku lalui semuanya. Indahnya hidup di bumi yang damai ini.

Aku duduk sendiri di EDU cafe, terasa ada kenangan mekar di sana. Aku berjalan sendiri di pinggir jalan INSTED, ada memori yang harum di sana. Aku singgahi CAC, ada ingatan tertinggal di situ. Manisnya buat aku tersenyum, pahitnya buat aku menangis. Syukur segala aku lalui dengan jaya. Bersama mereka aku lalui semuanya. Indahnya hidup di bumi yang damai ini. 

4 tahun di UIA nan permai, cukup mematangkan aku. 4 tahun di UIA nan indah, cukup mendewasakan aku. 4 tahun di UIA nan damai, cukup mengajar aku, ertinya kesabaran, ertinya kesusahan, ertinya kesakitan, ertinya kepahitan, ertinya kedukaan. Bersama mereka aku lalui semuanya. Indahnya hidup di bumi yang damai ini.

Mahalah Asiah duniaku, kini aku tinggalkan semua dalam ingatan. Yang cantik warnanya, yang kelam warnanya, yang ceria warnanya, yang suram warnanya. Walau kelam, walau suram, tetap satu memori yang terikat di hati, yang akan sentiasa di ingatan, yang akan kekal di jiwa, yang akan tetap terlakar di sanubari. Bersama mereka aku lalui semuanya. Indahnya hidup di bumi yang damai ini.

Kini, sekali lagi, aku bakal melakar satu lagi kenangan manis di sini. CAC bakal menjadi saksi, akan sebuah ketekunan diri ini, atas sebuah usaha diri ini, atas setiap keringat yang menitik, dan akan tangisan yang lama ku simpan. Terima kasih ya Allah atas kurnia manisnya kejayaan. Walau aku cepat leka, walau aku cepat lalai, namun KAU tak pernah melupai diri ini. Syukur aku buatmu, yang telah berada di sisi ini walau aku ada mereka, dan juga pada saat aku sendiri. Dan semestinya ada insan di sebalik kejayaan ini, mama (Rohana Sarif) bonda tercinta. Aku hadiahkan kejayaan ini buatmu yang tak pernah kenal erti lelah menjadi penyokong kuat buat diri ini. 

No comments:

Post a Comment