Hari ini 16 Mei merupakan tarikh rasmi buat kita menyambut HARI GURU. Buat GURU-GURU yang pernah mengajar dan mendidik diri ini, selamat saya ucapan DOA saya sentiasa mengiringi hidup guru-guru yang pernah mengajar saya walau seketika. Tanpa kalian siapalah diri ini. Bagi saya perkataan “GURU” atau “CIKGU” itu perkataan keramat. Di mana-mana kita lihat seorang guru akan terus di panggil CIKGU walau beliau telah bersara. Saya amat menghormati kerjaya guru (bukan kerana saya juga bakal seorang guru) tapi jasa guru itu sangat bernilai dan tinggi harganya.
Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga di mana mama dan papa saya merupakan GURU. Saya tahu betapa peritnya tugas seorang guru hari ini. Bukan seperti guru zaman dahulu, yang punya murid yang patuh, penuh disiplin dan juga punya tinggi rasa hormat. Bukan menafikan tugas guru zaman dahulu, masih ada kesusahan yang perlu dihadapi, mungkin cabarannya tidak sama seperti guru pada hari ini. Jika dahulu mungkin cabaran yang terpaksa di hadapi ialah kurangnya kesedaran di kalangan ibu bapa, mungkin juga kesusahan hidup menjadi halangan. Itu hanya 2 sebab yang mampu saya fikirkan. Masih banyak lagi rasanya sebab yang saya sendiri tak mampu atau di luar pengetahuan saya (maklum saja zaman dahulu dan sekarang terlalu banyak perbezaannya).
Berbalik kepada topic guru zaman sekarang, lebih banyak dugaan, lebih banyak halangan lebih tinggi risiko. Bunyi seperti sukar, bagi saya guru yang punya niat ikhlas dan beriltizam tinggi untuk melunaskan tanggunjawab yang dipegang tak akan pernah mengeluh dan dengan penuh dedikasi akan menjalankan tugas sebaiknya. Walau di mana jua mereka ditempatkan guru-guru seperti ini pasti akan terus memberikan yang terbaik. Saya tidak mengerti dan tidak tahu mengapa pelajar sekarang tak pernah untuk menghargai guru mereka. Tapi saya sedar kita tak akan sedar hingga suatu hari kita sendiri akan berkata “ terima kasih,CIKGU”.
Semasa saya di sekolah rendah, cikgu saya sanggup datang pada sebelah petang untuk mengajar kami yang ketika itu akan menghadapi UPSR, masa yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga. Saya selalu ditinggalkam di rumah apabila mama saya mengadakan kelas tambahan. Sewaktu saya bersekolah rendah saya tak terlalu hiraukan keaadaan ini. Tapi sebaik saya melangkah kaki ke sekolah menengah dan menetap di asrama keaadaan ini sebenarnya mengganggu perasaan saya. Saya pernah merasa kecil hati dengan mama saya hanya kerana mama meninggalkan saya di rumah dan mama pergi untuk meluangkan masa dengan anak orang lain. Saya menangis dan dalam hati saya berkata “ mama ada masa untuk anak orang lain tetapi di mana masa mama untuk saya”. Betapa sakitnya hati ini. Waktu itu saya rasa terbuang, bayangkan saya balik hujung minggu kerana ingin bermanja dengan mama, tapi hanya satu hari saya dapat bersama dengan mama. Waktu itu saya baru saja mencecah usia belasan tahun, mungkin kerana di usia remaja kita perlukan perhatian, jadi hati saya selalu terasa dan sakit apabila mama pergi mengajar pada hari Sabtu. Tapi semakin usia bertambah saya sedar, itu tugas mama, itu tanggunjawab mama, bukan saja sebagai guru malah sebagai khalifah ALLAH di muka bumi.
Kesedaran itu datang mencurah-curah apabila saya melihat dan merasa kasih sayang ustazah saya. Ustazah ini sanggup datang pada petang hari juga di hujung minggu hanya untuk mengajar kani dan mengadakan latihan demi menjamin kami mendapat yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan. Ustazah saya kadang-kadang membawa anaknya bersama ketika mengajar dan kadang-kadang ditingalkan di asrama kami. Saya bayangkan perasaan si kecil ditinggal begitu, dan saya tahu suatu hari nanti si kecil itu pasti merasai apa yang saya rasa dan mereka juga kan mendapat kesedaran seperti yang saya rasai. Itu hanya sedikit saja pengorbanan guru-guru saya yang menjadi pedoman dan kenangan buat saya. Semua ini menjadikan saya sedar betapa besarnya pengorbanan seorang insane bergelar GURU. Harapan! Suatu hari nanti saya juga akan dapat berkorban dan berkhidmat sebaiknya. Saya tak ingin selamanya menerangi hidup insan lain. Selagi hayat di kandung badan sungguh saya akan curahkan segala keringat dan kudrat yang ada.
No comments:
Post a Comment