Pernah terlintas untuk menulis dan ada blog sendiri, tapi tak pernah tercapai kerana saya selalu hilang semangat dan ‘mood’ untuk menulis dan sehingga sampai satu masa rasa bosan menguasai dan kini hasrat akhirnya tercapai. Terima kasih juga kepada seorang sahabat yang memberi semangat untuk saya membuka blog sendiri. Ilhamnya sudah lama cuma saya tercari sumber pendorong untuk saya merealisasikan hasrat ini. Dan semester pendek bakal memulakan sebuah kisah. Cuma sebagai permulaan saya sendiri belum tahu apa sebenarnya tujuan blog ini. Tapi rasanya terpulang saja pada saya untuk mengendalikan blog ini. Ada juga seorang teman menjadikan blog sebagai luahan rasa yang tak mampu dikongsikan dengan sahabat lain, dan blog adalah rahsia hatinya. Ada pula sahabat yang menjadikan blog sebagai medium untuk menyuarakan ketidak puasan hatinya. Macam-macam kisah sahabat saya. Dari situ saya juga terfikir blog ini boleh menterjemahkan apa saja, ilmiah, gosip, jurnal dan apa saja mengikut kehendak masing-masing.
Ada yang menulis dalam bahasa inggeris, ada juga yang menggunakan bahasa pasar dan bahasa-bahasa remaja masa kini. Saya rasa tak ada salahnya menggunakan apa jua bahasa, tapi bahasa yang di gunakan remaja masa kini (saya juga diantaranya, tapi tak keterlaluan untuk dikatakan saya masih punya rasa cinta pada kesusteraan melayu) merosakkan keaslian BAHASA MELAYU, bahasa ibunda kita. Saya memilih untuk menggunakan BAHASA MELAYU ‘standard’ menyedari kelemahan diri dalam bahasa. Dan beberapa hari lepas, di dalam kelas, cikgu saya telah membuka mata saya bahawa BAHASA MELAYU itu indah. Dan kita sebenarnya leka dengan perkembangan hingga kita terlupa bahawa suatu masa dulu BAHASA MELAYU pernah menjadi lingua franca, dan bahasa ini terlalu indah untuk dihayati. Bukan ingin menafikan kepentingan BAHASA INGGERIS (kerana sampai satu masa saya juga akan menjadi seorang guru bahasa INGGERIS) tapi sebagai seorang MELAYU kita harus bangga punya bahasa yang indah, perlu dimartabatkan dan sebenarnya boleh dijadikan bahasa ilmu seandainya ada yang ingin terus berjuang dan masyarakat sedar akan keperluan untuk mengembalikan kegemilangan zaman BAHASA MELAYU seperti dahulu kala. Saya sedar diri sendiri juga lemah namun masih lagi punya kesedaran dan semangat untuk bangkit memperjuangkan BAHASA MELAYU.
No comments:
Post a Comment