Wednesday, August 22, 2012

Suasana hari raya! (part 1)

"Berlalulah sudah ramadan sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira"

Lagu suasana hari raya dendangan Anuar Zain dan Elena  masih lagi berkumandang, syawal baru mencecah usia 4 hari, namun bagi aku yang kurang sahabat, syawal terasa kosong. Namun begitu kedatangan satu syawal tetap di raih dengan rasa gembira dan bersyukur kerana telah berjaya menyudahkan ramadhan, semoga amalan sepanjang ramadhan di terima oleh Allah. 

Berbalik kepada sambutan syawal kali ini, seperti biasa tiada yang terlalu istimewa, kami sekeluarga tidak pernah aku rasa penat membakar kuih raya, merebus ketupat, atau membakar lemang atau mengacau dodol yang ada cuma kuih raya beli. Cuma yang istimewa hari raya, mama pasti memasak hidangan istimewa seperti nasi ayam, tomato, beriani atau apa saja enis nasi yang kami ingini. Tahun ini kami beraya dengan nasi ayam, buat para tetamu mama merebus ketupat segera ADABI. Buat si kecil yang datang beraya yang hanya mahu mengutip duit raya kami sediakan bungkusan-bungkusan berisi gula-gula, jeli, coklat bersama duit raya. 

Hari raya kali ini sambutannya tetap seperti biasa, jadual tidak pernah berubah sejak kematian tok di kampung. Kalau dulu sewaktu arwah Tok Tom masih lagi ada, kami sekeluarga akan pulang awal 2 hari sebulum raya, sama-sama berkumpul dan iftar di kampung, setelah arwah tok meninggal kami pulang ke kampung mama beraya bersama Tok Cik, namun kini Tok Cik juga telah tiada, makan kami berhari raya di rumah sendiri. Raya tanpa tok disisi terasa amat berbeza, tiada yang menyambut, tiada yang bertanya khabar, tiada juga duit raya. Namun mujur juga tok wan masih ada, walau tok wan tak seperti tok, sekurang-kurangnya masih ada memori di kampung. 

Bagi keluarga seperti kami yang tak punya banyak saudara cukuplah berkunjung ke rumah mereka pada hari raya pertama. Kadang-kadang kata tok wan masih ramai saudara kita, namun dengan kepesatan pembangunan dan kesibukan masing-masing semakin tidak kenal saudara sendiri. Susah juga hidup di zaman berteknologi ini. Terasa indah pengalaman berhari raya sewaktu masih kecil. Namun bagi aku hari raya tetap di raikan kedatangannya dengan ceria. 

Walau usia sudah mencecah 24 tahun namun aku masih lagi gembira bermain bunga api dan membakar mercun, dengan lampu yang digantung indah di hadapan rumah. Namun begitu suasana kadang menjadi terlalu bising dengan bunyi mercun yang keterlaluan. Hari ini tidak lagi seperti dulu anak-anak hanya singgah ke rumah semata-mata ingin mengutip raya, hilang sudah tradisi kunjung mengunjugi. Mereka sudah lupa tradisi nenek moyang untuk menziarahi jiran tetangga, yang ada di fikiran berapa duit raya yang mampu mereka kutip.  

Raya kali ini juga tak lupa kami sekeluarga bergambar kenangan kerana bukan selalu kami dapat berkumpul, walau tiada sesiapa pun antara kami yang berkahwin namun lantaran masing-masing menyambung pelajaran, maka hari raya hari kami berkumpul dan bertemu kembali menyambung kasih. 
 

No comments:

Post a Comment