Saturday, July 7, 2012

Beza aku dan dia

.Aku dan dia banyak bezanya. Ketara bezanya, kerana dia lelaki dan aku perempuan. Dia di lahirkan sebagai anak bongsu keluarga dan aku  seorang kakak sulung. Zamannya juga berbeza, aku di zaman kesusahan dan di zaman yang sudah merasa hidup senang. 

Saat aku dulu menangis mengenang rumah nan jauh di mata, sedih melihat kawan-kawan lain makan dan bersuka ria bersama keluarga namun dia senang di ulit mama, setiap minggu di lawati bersama makanan dan apa saja yang diperlukan. 

Saat dulu permintaan ini sering tertunda dan dia dengan mudah meminta dan menerima. Waktu aku dulu, penat mengejar bas, berebut tempat duduk, bertukar bas untuk pulang ke rumah dan untuk kembali ke asrama dan dia hanya cuma perlu menutup pintu kereta di hantar hingga ke pagar asrama.

Saat aku dulu duka menahan air mata kerana teringin jua di lawati mama, dia hanya perlu menelefon menetapkan waktu dan tempat berjumpa di hari Jumaat dan Sabtu. Aku dan dia, bezanya jauh, 10 tahun membuatkan jurang itu juga jauh.

 Kami yang jauh berbeza, kami yang jauh terpisah zaman namun bernaung dalam satu payung kasih sayang. Kadang muncul rasa cemburu namun apakan daya segalanya telah berlalu. Walau aku menyalahkan mereka, semuanya tetap kenangan yang sama.

 Aku hanya mampu berfikir segalanya sudah tertulis indah, terkarang cerita yang terkandung  makna yang tersembunyi yang aku sendiri tak tahu, namun suatu hari nanti pasti  akan terserlah jua hikmahnya.

No comments:

Post a Comment