Baru aku ingin lupakan derita-derita ketika aku baru melapor diri di sana, tapi ramadhan ini benar-benar menguji aku. Rasanya lebih baik aku katakan segala kerja ini menggangguku. Aku tak ingin mengeluh kerana aku yang memilih jalan ini, tapi hanya satu aku rasa bulan suci ini harus dihormati. Aku terfikir tiadakah waktu lain untuk menjalankan aktiviti ini. Masih ada, malah sebelum-sebelum ini ada masa yang terluang tetapi kenapa tak dilakukan aktiviti-aktiviti itu. Aku tak faham, YA, aku memang tak faham MENGAPA perlu bulan ini.
Sedikit-sedikit semangat ini hilang. Bulan suci ini ingin juga aku mengejar rahmatnya dengan selesa tanpa lelah dan segala kegelisahan tapi kali ini tak mampu aku menumpukan sepenuh perhatianku. Aku jadi hilang dan tanpaku sedar ramadhan ini terlalu cepat meninggalkan diri ini. Akulah yang bersalah kerana tidak mengejarnya, namun ramdhan kali ini penuh dengan kegelisahan. Aku inginkan ketenangan seperti tahun-tahun dulu.
Baru kini aku menghargai zaman belajarku. Ingin aku terus menimba ilmu di bumi itu. Bilakah masanya aku dapat menjadi seorang pelajar lagi. Ingin malayari hari-hari tanpa kerisauan. Ingin mencari kembali segala memori yang tertinggal. Aku merindui segalanya tentang bumi itu. Malah ramadhan di sana juga memberikan aku satu ketenangan walau ketika itu aku sibuk dengan pelbagai kerja.
Mengharapkan ada yang mengerti, mungkin bagi mereka segalanya sudah terbiasa. Tapi aku masih terlalu baru, aku masih mengharap bulan ini dihormati seperti aku ingin menghormatinya. Sayang terbiar dek rasa ini. Ramdhan aku tak tahu bakal datang lagi atau tidak buat diri ini, tapi masih sempatkah diri ini mengejar sisa-sisa bulan barakah ini? Ramadhan jangan kau pergi...