Sudah hampir akhir ramadhan, ramadhan yang berbeza kali ini. Ramadhan bersama tanggungjawab yang semakin bertambah membuatkan ramadhan aku sedikit suram bersama dengan keadaan kesihatan yang kurang baik. Aku dapat rasakan ramadhan ini tak seindah tahun lepas.
Sebaik aku menerima tugas sebagai seorang warden, bermakna aku turut menyerahkan bersama waktu rehat dan senang lenang di rumah. Bersama dengan tugas-tugas lain, masa di rumah makin kurang dan terus berkurang. Komitment makin bertambah dan aku merasakan terbeban dengan segala yang di berikan kepada aku.
Hati ini tak bersinar seperti tahun-tahun sebelumnya. Waktu terasa sangat cepat berlalu, dan ramadhan sudah menghampiri 10 malam terakhirnya. Terasa baru saja aku tempuhi ramadhan pertama, dan hari ini ramadhan sudah mencecah hari ke 21. Banyak masa yang aku habiskan di sekolah, boleh di kira dengan jari waktu berbuka di rumah. Malah tahun ini, hambar benar aku rasakan.
Aku rasa ramadhan ini, ingin aku menarik diri dari segala kesibukan dunia. Pernah bersembang dengan rakan sekerja, katanya ramadhan lah yang patut kita raihkan. Mungkin kerajaan boleh memberi cuti sepanjang ramadhan, sepertimana negara-negara barat bercuti sewaktu musim panas untuk menikmati musimnya. Bukankah ramadhan itulah bulan pesta ibadah umat Islam. Bukan bermakna, bulan-bulan lain itu bulan ibadah, tetapi ramadhan itu lebih istimewa. Pelbagai tawaran terkandung di dalamnya. Indah andai kita tak perlu memikirkan perkara lain ramadhan ini.
Ramadhan ini, banyak yang berubah. Ekonomi yang kian meruncing. Jika dulu, aku tak merasa peritnya nilai matawang yang jatuh. Di usia ini, dengan gaji yang sederhana terasa juga susahnya. Walau aku masih lagi bersama papa dan mama, aku mula fahami kesusahan hidup tanpa harta yang cukup. Ramadhan kali ini, melakar juga pelbaga cerita. Apa yang tak pernah aku lalui tahun-tahun dulu. Kembali mengulang kisah asrama selepas 10 tahun.
Banyak yang baru tahun ini. Namun Syawal yang bakal datang, aku masih tetap sendiri. Tiada apa yang baru dalam diriku Syawal ini. Masih lagi seperti dulu. Penatkah aku menanti? Janji Allah itu pasti. Seketika nanti pasti ada kegembiraan yang bakal aku lalui. DIA yang maha pemurah lagi maha adil. Diberikan aku sedikit nikmat dah hidayahnya kepada diri ini yang seolah-olah hilang seketika. Rasaku, itulah yang terpenting.
Moga ramadhan ini, membawa perubahan yang baik buat diri ini. Kuatkan semangatku untuk aku terus berubah kearah jalan yang Engkau redhai.
No comments:
Post a Comment