Tuesday, January 4, 2011

Aku merindui kamu …

Semalam aku menangis terbayangkan saat kita bersama berjalan menuju ke kelas sambil berpimpinan tangan. Pagi itu, dingin menyamankan kita yang sedang bersenda bersama menghabiskan perjalanan yang hanya memakan masa lebih kurang 5 minit. Aku terbayang senyuman dan tawamu saat kita bersama melayari sebuah persahabatan. Setibanya di kelas, kita memilih tempat pastinya engkau ada di sebelah tempat dudukku kerana kita tak mungkin dipisahkan. Aku merasakan ada keserasian antara kita. Kita masih lagi berbicara dan ketawa bersama hingga pensyarah masuk dan kita sama-sama mula memberi perhatian kepada pelajaran. Kadang-kadang mata ini terlalu berat untuk bertahan dengan segala ilmu yang disogok buat kita. Saat aku terasa tak mampu bertahan dengan apa yang diajarkan kau akan berada disisi member kata-kata peransang. Kadang-kadang kita terlalu letih dan mengantuk maka hari itu terasa pelajaran pun tak bermakna, terkadang aku sengaja mengganggu tumpuanmu kerana aku sudah tidak dapat bertahan dengan rasa kantuk yang teramat. Aku ada rahsia yang tersimpan hanya padamu aku berbicara tentang dia. Dan kadangkala saat si dia melintas di hadapan kelas kita maka tumpuan bukan lagi pada pensyarah kita yang sedang berusaha gigih memberi ilmu tapi pada si dia yang aku sendiri tidak tahu namanya.

Sehabisnya kelas pagi kita akan singgah di kedai sama ada membeli roti atau bihun goreng sebagai pengalas perut sebelum makan tengahhari kerana masih ada kelas yang menanti. Berdua kita duduk di lobi Mahallah Khadijah itu. Makan dan minum dengan waktu yang bersisa sejam sebelum kelas seterusnya. Kita terus berbicara tanpa sedar apa yang akan terjadi di masa hadapan. Sekali lagi kita melangkah menuju ke kelas (science building, smawb, blog E) menyambung perjuangan yang bersisa untuk hari itu. Aku merindui itu. Saat terasa susah menyelesaikan kerja yang ditugaskan pensyarah kita duduk bersama menyelesaikan apa yang patut kadang kita terlalu malas dan mengambil jalan mudah. Meminta simpati sahabat-sahabat yang lain. Dan kerja kita pun selesai. Indahnya kenangan itu.

Sampai satu masa aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perjuangan itu, maka kau juga yang membantu diri ini menyelesaikan segala urusan. Sungguh aku terhutang budi pada dirimu. Dan bermula saat itu, jalan hidup kita berbeza. Kita tak mampu lagi untuk berjalan bersama ke kelas. Kita juga sudah tidak sempat untuk duduk sekali berbicara dari hati ke hati. Namun di sudut hati ini aku teramat ingin mengulangi apa yang telah tertinggal di belakang kita. Dan pengakhirannya kita makin jauh. Aku di Nilai kau masih lagi di Petaling Jaya.

Kini aku merindui apa yang pernah kita lalui bersama. Mengharungi hidup yang kadang kala mencabar membuatkan hati ini meronta-ronta ingin berbicara, bersua dan bersama denganmu mengharungi setiap perjalanan hidup ini. Namun jalan takdir kita berbeza kau kini di Kuantan dan aku di Gombak. Namun aku ingin kau tahu sejauh mana jua kita terpisah aku tak akan mungkin melupakan apa yang pernah kita lalui bersama. Segala pahit manis itu masih lagi kuat terpatri di hati ini kerana bagiku kau sahabat sejati. Sahabat semoga ukhwah ini akan terus terjalin tersimpul mati. Sebanyak mana jua kenangan yang terbina di sini, memori kita bersama tak akan pernah lekang dari hati ini. Sungguh aku amat merindui kamu.

No comments:

Post a Comment