Aku akhirnya dapat juga pulang ke bilik setelah hampir 12 jam berada di sekolah. Terasa terlalu penat tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Katil seolah-olah satu-satunya benda yang paling menarik sebaik saja aku melangkah ke dalam bilik. Maka aku terfikir, bagaimana pula dengan seorang guru, seorang isteri dan seorang ibu. Bagi yang punya keluarga sendiri bagaimanakah rasa mereka, apakah sempat untuk mereka bahagikan masa untuk diri sendiri, suami dan anak-anak. Kalau aku yang hidup sendiri ini terkadang rasa seolah tidak cukup masa untuk diri sendiri bagaimana pula dengan mereka. aku makin kagum dengan mereka yang bernama wanita, yang memegang title wanita berkerjaya. Bukan mudah untuk menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga.
Hari ini, waktu berjalan seolah lambat. Waktu terakhir kelas di habiskan bersama 2 Digital terasa amat memenatkan. Anak-anakku sudah hilang minat belajar, gurunya juga hilang semangat melihat anak-anak yang keletihan dan kepenatan. Aku terfikir mengapa subjek bahasa seringkali di letakkan di akhir-akhir waktu pelajaran.
Bukan ingin merungut atau juga rasa menyesal memilih tugas ini, namun terkadang rasa hati ini di suarakan supaya beban jiwa dapat berkurang. Sungguh jauh di sudut hati, aku gembira dan tenang melihat wajah mereka, namun terkadang tak mampu aku harungi hari dengan kerenah nakal mereka. Terkadang rasanya seolah hilang sabar yang aku pegang. Dan aku terfikir lagi, aku baru saja memegang tugas sebagai pendidik selama sebulan saja sudah merasakan pelbagai rasa, bagaimana pula mereka yang menjadi pendidik hingga berdekad-dekad lamanya. Dan sungguh aku mengkagumi dan menghormati mereka.
Anak-anakku, sungguh aku harap ada hari esok untuk kita bersua lagi. Aku berharap agar esok kita bersua ada yang aku boleh kongsikan bersama dengan kamu. Semoga senyumanku menguntum lagi melihat wajah-wajah kamu, biarkan aku tanamkan rasa sayang ini buat kamu. Moga di ikhlaskan jua niat di hati ini moga kita sama-sama mendapat manfaat dan berkatnya.