Semalam sengaja mengemas almari baju, yang sudah penuh dengan baju-baju kurung hingga ada yang sudah tidak muat untuk di susun di dalam almari. Aku cuba mencari baju-baju yang aku rasa sudah boleh untuk aku turunkan dari penyangkut dan gantikan dengan baju yang lain. Satu demi satu baju aku selak, helaian demi helaian hingga sampai di baju yang hampir berada di hujung ampaian baju itu. Sepasang kurung merah jambu bercorak batik hitam. Tak sengaja tangan mencapai baju itu. Kiranya baju itu hampir menjangkau 7 tahun. Masih elok dan muat kerana aku sudah jarang memakainya, namun ada sebab sentimental baju itu masih lagi tergantung walau aku kini mencari ruang untuk menyangkut baju lain.
Aku tarik baju itu dari ampai almari, aku sangkut pula di muka pintu almari. Lama aku renung kurung itu, ada memori yang tersimpan di situ. Baju itu membawa aku kembali ke zaman remaja yang penuh dengan keceriaan. Baju itu pakai ketika aku mengambil keputusan SPM. Punya kenangan yang manis juga pahit. Waktu itu hanya papa dan adik-adik yang menemani aku ke sekolah. Sedih rasa hati kerana mama tak dapat bersama. Mama terpaksa akur dengan urusan tugasnya. Waktu itu, debaran di hati usah di cerita, sekeping roti canai pun tak mampu aku hadam. Ini keputusan menentukan masa depanku.
Aku bukan pelajar pintar harapan sekolah, maka aku tak mengharapkan keajaiban yang berlaku, aku cuma berharap keputusan SPM itu dapat melayakkan aku menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya. Tambahan pula keputusan percubaan juga tidak dapat dibanggakan. Aku sampai ke perkarangan sekolah mungkin lebih kurang 10 pagi. Masih lengang sekolahku itu. Masih ramai kawan-kawan yang belum sampai. Di kantin aku lihat sudah ada yang menanti, debar itu makin terasa, aku tak mampu lahirkan getar itu. Tiada perasaan untuk turun dan berbual dengan rakan-rakan walau ketika itu sudah hampir 4 bulan kami tidak bertemu bertukar cerita.
Aku menanti dan terus menanti, waktu dan ketikanya tiba. Aku lihat ada juga guru-guruku yang turut cemas hanya senyuman menyapa mereka insan yang banyak membentuk dan mengajarku erti kehidupan ini. Lebih kurang 11 pagi, jam yang berdetik terasa lambat sungguh. Aku yang menanti ini terasa mati akal. Akhirnya aku lihat guru-guru kelas tingkatan 5, datang dengan fail dan pen di tangan. Ada mekar senyuman yang menyapa kami yang menunggu penuh debar ini. Aku kini duduk bersama rakan-rakan, berkongsi rasa cemas dan rasa yang tak mahu hilang dari jiwa.
Dalam payah kami melangkah juga ke dewas Muhammad Abduh, dewan yang menjadi saksi kami menjawab soalan SPM, saksi pelabagai telatah dan kerenah kami jiwa-jiwa muda. Aku lihat guru-guru sudah bersedia hanya menanti anak-anaknya datang menyambut dengan tangan terbuka. Dengan kurung merah jambu itulah aku menyambut slip keputusan SPM dengan gigilan di tangan. Suara guruku yang menyuruh aku duduk, terasa seperti angin. Aku seolah tidak nampak ada kerusi di situ, yang aku lihat hanya bilangan A di slip itu. Sekali ku kira, 2 kali ku kira, dan 3 kali ku kira dan aku mengangkat kepala. "Berapa A, Syazwani?" melihat aku memandang wajahnya itulah soalan pertama yang keluar dari bibir guruku itu. Dan yang mampu aku jawab, "7, cikgu" dengan senyuman guruku itu mengucapkan tahniah.Dengan ucapan terima kasih, aku tinggalkan meja tempat guruku itu duduk.
Aku berjalan dengan hati yang bercampur baur. Gembira, terharu, sedih semunya bercampur baur. Aku dekati papa dan adik-adik, slip aku berikan kepada mereka yang menanti. Sedang kawan-kawan lain masih lagi dengan debaran dan kekalutan rasa, aku akhirnya lega setelah slip di tangan. Cepat aku hubungi mama, keputusna itu harus cepat aku sampaikan. Dalam kekeliruan dan gelodak jiwa, aku berjalan mencari tempat yang jauh dan lebih tenang.
Di kerusi batu, di hadapan koperasi sekolah aku menangis. Aku sendiri ketika itu tak pasti untuk apa tangisan itu. Sesal kerana mendapat B untuk subjek Bahasa Melayu, sedih kerana tak dapat berkongsi rasa dengan mama, dan juga terharu kerana tidak percaya aku mampu mendapat A untuk subjek biologi. Puas sudah aku luahkan perasan, aku kembali ke kantin. Semakin ramai kawan-kawan yang hadir. Aku lihat, ada yang keluar dengan senyuman dan tawa ada yang keluar dengan tangisan dan sendu di wajah. Aku sendiri masih dengan mata yang merah dan pipi yang basah.
Mengucapkan terima kasih kepada guru-guruku yang telah banyak membantu, dan telah tiba mas aku meninggalkan tempat jatuh bangnunya aku. Setiap kali aku temui guruku, soalan yang sama pasti di tanya, aku dengan senyuman yang aku tak pasti bagaimana menutur dengan sopan lantaran hormat dan rasa berterima kasih yang teramat sangat kepada guru-guruku ini. Ada cikgu, yang menyuruh aku senyum, katanya dengan keputusan itu aku patutnya senyum bukan datang dengan tangisan dan mata yang berkaca.
Mungkin itu cara aku luahkan rasa yang tersimpan. Siapa yang tahu rahsia di hatiku. Rasa terkilan dengan ketidakhadiran mama itu yang sebenarnya buat aku menangis. Aku tinggalkan dewan itu, aku tinggalkan sekolah itu dengan kenangan, aku tinggalkan temapt itu membawa seribu satu rasa dengan kurung merah jambu itu sebagai satu bukti, air mataku masih ada di situ. Sepasang kurung merah jambu itu mungkin pada pandangan mata mereka yang lain sudah layak aku simpan di dalam kotak, namun di mataku masih ada kenangan yang tak ingin aku padam di situ. Kurung merah jambu itu jadi saksi tangisku jadi saksi senyumku hari bersejarah itu.
No comments:
Post a Comment