Dah pun masuk 27 Disember 2013, berapa hari saja lagi kita akan masuk pula ke tahun baru masihi 2014. Tak sedar pun masa berlalu. Tambahan pula tahun ini macam-macam yang berlaku dalam hidup aku. Rasa macam banyak benda yang aku buat tahun ini. Biar aku ingat balik apa yang aku buat sepanjang tahun ini.
Awal tahun, bulan Januari sampai Mac, aku jadi guru sementara dekat SMAZ. Tak sangka aku berjodoh dengan sekolah dekat situ, walaupun cuma seketika, banyak yang aku belajar di situ. Aku kenal anak-anak hafiz dan hafizah yang mana aku rasa senang di dampingi mereka. Mengajar di SMAZ walau gaji tak banyak aku tetap gembira, belajar benda baru, mendapat tarbiyah dan bagi aku persekitaran yang menyenangkan, yang pasti aku bahagia.
Hujung Februari, aku di panggil temuduga, jawatan PPPS DG41, di Institut Perguruan Tunku Bainun, Penang. Aku ambil cuti sehari dari mengajar. Seminggu lepas balik dari temuduga aku di panggil bertugas sebagai guru interim di SMSAH. Maka bermulalah sebuah kehidupan yang aku sendiri tak nampak akan kedatangannya. 1 Mac merupakan hari sepatutnya aku mendaftar di sekolah interim, namun sedikit kelewatan telah berlaku, 7 Mac aku baru menerima memo bahawa aku bakal di tempatkan di SMSAH. Ahad, 10 Mac aku hadir di SMSAH di awal pagi sewaktu perhimpunan pagi. Rasa diri ini kerdil, hanya aku seorang sahaja yang mendaftar di situ. Tanpa aluan, tanpa tunjuk ajar, aku menyesuaikan diri di SMSAH.
Aku sendiri mencari bilik guru, dan aku sendiri mencari tempat dudukku. Sungguh begitu sekali aku harus menyesuaikan diri. Namun mujur ada kakak-kakak yang peramah. Bertemu aku dengan Madam Rabitah yang kini aku jadikan sebagai mentor dan idola. Kak Ina yang baik hati dan sudi memberikan banyak tunjuk ajar juga telah membantu aku meletakkan diri ini sebagai seorang guru SMSAH
Aku mengenal Naowarat, guru praktikal di situ, kami jadi rapat dengan cepat sementelahan dia juga waktu itu tak punya kawan untuk berkongsi masalah. Selang 2 hari aku mendaftar aku di arahkan menjadi guru pengiring skuad olahraga. Aku terpana. Payahnya untuk aku terima tugas pertamaku ini. 3 hari di padang TATAR bersama Naowarat, aku jadi tertanya-tanya apakah tugas aku seterusnya. Benar bagai di sangka, seterusnya aku menjadi pula guru pengiring kem motivasi pelajar tingkatan tiga, setelah aku pulang berkursus dari Langkawi. Aku mula merasai kesibukan dan kepenatan guru SBP.
Selapas itu, masih banyak acara yang aku lalui. Namun sokongan dari guru-guru panitia Bahasa Inggeris memberi kekuatan kepada diri ini. Dari tidak tahu langsung mengenai Choral Speaking, aku belajar bertatih. Malah aku juga perlu membantu peserta public speaking. Melatih itu aku tidak kisah, namun untuk aku membina hubungan dengan mereka itu yang sukar bagi aku yang sememangnya sukar untuk mendekati insan lain. Namun aku akhirnya berjaya juga. Pasukan choral speaking aku bimbing, walau tidak berjaya memenangi apa-apa tempat, aku kini ada sedikit pegalaman untuk aku pegang di tahun-tahun akan datang.
Aku belajar mencuri sedikit semangat Kak Iena dan team drama, aku kumpul semuanya. Tahun hadapan aku ada tekad aku sendiri. Namun di sini minat aku lebih bercambah ke arah sukan dan olahraga. Aku sebenarnya rela saja berpanas di padang, daripada di suruh menyertai ceramah atau bengkel. Kali ini tiga kali aku keluar membawa pasukan olahraga sekolah, setiap kali itu juga aku simpan kenangan-kenangan yang ada pahit, ada juga manis.
Bengkel Digital Story Telling Animation juga punya kenangan indah buat diri ini. Pasukan kami berjaya mengalahkan KUPSIS yang di katakan musuh tradisi sekolah kami. Anak-anak gembira, aku juga gembira, kemenangan tanpa di duga itu lebih lagi memberi impak indah dalam hidup kami berempat. Malah aku rasa, sepanjang di situ aku banyak belajar pelbagai ilmu, tak kira dari mentor-mentor di situ malahan dari anak-anak yang ternyata lebih arif dengan ilmu perkomputeran. Moga ada lagi program seperti ini di masa akan datang.
Aku juga menyertai bengkel di IPDA, sedikit bengkel bekal untuk aku memotivasikan diri. Tahun ini banyak pengalaman pahit yang aku lalui. Entah kenapa, aku terasa tak serasi di sini. Masih juga aku cuba menjadi positif, ya aku masih lagi sehijau daun. Perlu lebih kuat menghadapi semua ini. Dugaan menjadi guru itu bukan mudah. Ramai yang berkata kerja guru itu mudah, tapi ceritanya tak sama seperti dulu. Aku ikhlaskan hati, biar apa saja mereka ingin katakan namun tak sesiapa juga yang mampu menilai hati ini melainkan DIA yang ESA.
Semoga tahun depan membawa sinar kepadaku. Dengan harapan yang tinggi ingin berusaha lebih kuat, aku tinggalkan yang pahit di sini. Biar aku simpan yang manis buat motivasi diri ini, moga saat aku bersedih kala nanti, ada yang mampu buat aku tersenyum dan menjadi pendorong aku kembali bangun. Kerana ini jalan yang aku pilih untuk masa depanku.
No comments:
Post a Comment