Sunday, December 4, 2011

Kehilangan itu pasti.

Al-Fatihah, buat Kak Zuraini Lokman. Pemergian yang mengejutkan ramai. Semoga Abang Wan Zul tabah dan kuat demi Irsyad. Mendoakan yang terbaik untuk arwah. Buat mereka yang merasai kehilangan itu, semoga sentiasa bersabar dan reda dengan pemergian ini. Sudah sampai untuk dia pergi dulu sebelum kita, sesungguhnya Allah lebih sayangkan dia. Kita yang tinggal harus meneruskan hidup, menjadi lebih kuat, menjadi lebih tabah, sentiasa mendoakan kesejahteraan buat dia. 

Harap urusan pengebumian selesai tanpa halangan dan rintangan. Sesungguhnya melihat sebuah kematian itu mengingatkan kita pada ajal. Maka kita seharusnya mengingati mati kerana kita tak tahu bila pula ajal kita akan tiba. Usia itu hanyalah angka, tak kisah tua atau muda, andai tiba saat dan ketikanya, pasti akan di panggil olehnya. Sentiasalah memohon keampunan dariNYA. 

Sedih, walau aku bukan kenalan rapat arwah, tapi kerana ikatan ukhwah yang terjalin, aku terasa kehilangan itu. Melihat si kecil yang baru saja mencecah usia 2 bulan, aku jadi sebak, dia tak akan mungkin mengenali ibunya. Aku harap dia membesar menjadi anak yang soleh. Aku intai wajah kusut Abang Wan Zul, siapa lagi yang mampu tersenyum saat mengangkat jenazah isteri sendiri, terlalu sebentar hidup arwah bersama dengannya. Aku melihat mata seorang ibu yang kehilangan anaknya, biar reda, namun masih mampu aku lihat kesedihan itu. Ada air mata galak ingin menitis melihat setiap wajah murung ahli keluarga arwah, namun apakah air mata itu dapat memberi kekuatan buat mereka. Dan seharusnya kita yang perlu memberi semangat dan kekuatan buat mereka. Hanya doa yang mampu aku iringkan buat dia yang telah pergi. 

Ya Allah, Semoga K.Zu di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Semoga di ampunkan segala dosa-dosanya. Tenanglah dia di sana. Amin. 

Kerana kehilangan itu pasti maka kita perlu sentiasa bersedia. Maka kita seharusnya menjadi kuat, walau tak mudah, walau tak  senang, namun hanya itu yang kita mampu saat kita hadapi kehilangan itu.

No comments:

Post a Comment