Friday, August 5, 2011

Bingkisan dari hati buat, suamiku (bah.1)

Sayang,

Aku tahu pada mulanya, kita tak pernah serasi. Sejak bertemu, pendapat kita tak pernah sama. Bagaikan anjing dan kucing ada saja yang kita tengkarkan. Ada peluang bertemu, pergaduhan adalah intinya. Kau tetap dengan keegoanmu, aku tetap dengan prinsipku. Segalanya tertulis indah, lewat pertemuan kerana percaturan keluarga kita akan disatukan. Kau mengelak malah aku menolak. Namun aku terpaksa dan kau tertekan dengan segalanya. Aku memenuhi hasrat arwah atukku dan kau sempurnakan cita-cita nendamu. Kita korban cinta mereka yang tak kesampaian. Akhirnya kita bersatu dalam paksa. Demi menjaga banyak hati dan perasaan, jiwa kita terkorban. Aku lupakan kekasih hati yang sekian lama bertahta di kalbu dan kau tinggalkan dia yang terus menanti. Saat itu, bagiku kaulah seteru nombor satu. Hati ini pedih tersayat, susah menerima kenyataan, aku terpaksa berpisah dengan dia yang aku sayang setelah sekian lama menyulam cerita cinta. Dalam diam aku sebenarnya menyalahkan dirimu, walhal aku tahu kau juga mangsa keaadaan ini. Kau juga turut berduka dengan keputusan ini.

Sayang,

Arahan nendamu bagaikan petir membelah bumi, perintah supaya kita tinggal bersama dengan hasrat semoga cepat dia miliki cicit. Hati ini puas memberontak namun demi rasa taat sebagai anak dan patuh pada sebuah wasiat aku berserah. Mungkin ada rahmat dari Ilahi. Aku sedar kau juga serba salah, antara nendamu dan kehendak hatimu. Akhirnya dalam seribu keterpaksaan kau datang menjemputku, puas aku menangis dan kau memberi seribu janji bahawa aku tak akan diganggu dan kita akan hidup seperti kita sebelum bernikah. Aku akur juga. Hilang sudah kebebasan yang aku rasai. Saat aku gembira di menara gading mengejar cita-cita menghabiskan pengajian yang berbaki satu semester, mengharungi saat pelajar yang serba indah, aku terpaksa tunduk padamu insan yang bernama suami. Tidak pernah terlintas di hati ini menamatkan zaman soloku sebegini cepat. Namun kala aku tersedar ini adalah takdirku aku beristifar kerana tanpa sedar aku menyalahkan apa yang sudah tertulis. Mungkin Dia ingin pelihara aku dari dosa bercinta di luar ikatan pernikahan. Mengelakkan aku dari melakukan perkara yang mendekati zina. Saat itu aku bersyukur kerana di lindungi olehnya. Namun, aku tetap bingung. Semangatku pudar. Segalanya terjadi bagaikan taufan, segalanya berlaku sekelip mata. Aku perlu masa untuk membiasakan diri ini dengan status baruku, seorang isteri. Aku rasakan bebanan itu menjerut hingga tak mampu aku bernafas lemas dalam ikatan ini. Kerana aku sedar, ikatan ini menjebakkan aku pada satu tanggunjawab terhadap dirimu. Aku runsing memikirkan semua itu. Sebagai anak yang terdidik dengan didikan agama, aku sedar segala tanggunjawabku. Nasihat abi di hari pernikahan kita meletakkan aku dalam di lema Mampukah aku melangsaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan juga isteri. Bagaimana ingin aku bahagikan masa antara tugas di kampus dan di rumah. Sedangkan tugasku sebagai naib pengerusi kelab memanah juga sebagai setiausaha kelab kembara dan segala tugasan dari pensyarah yang kian menimbun. Dicelah mana aku mampu bernafas dan melunaskan tanggunjawab di rumah.

Sayang,

Dalam diam aku berterima kasih padamu, kerana kau memahami kesibukan in, lantas kau juga dengan ringan tulang turut membantu aku membereskan segala tanggungjawab yang sepatutnya aku pikul. Dan aku paling bersyukur kau tak pernah menuntut hak batinmu, walau kadang aku sedar adakah sepangjang malam aku dilaknat malaikat kerana gagal melunaskan tanggungjawabku nan satu itu. Kita umpama teman serumah, bercakap bila perlu dan bersua sekadar menyapa tanpa rasa. Tapi sungguh, jauh di dasar hatiku, aku merasa teramat berdosa padamu kerana menafikan hakmu dan gagal menjadi isteri solehah buatmu. Namun kau tetap penuh dengan tanggungjawab. Entah aku tak tahu membaca hatimu, setia menghantar dan menjemputku pulang dari kampus. Malah kau tak pernah lokek menghulurkan wang belanja buatku. Aku tersentuh, sekeras-keras hati perempuanku hampir lebur dengan kelembutan dan sikap ambil beratmu. Malah kau dengan baik hatinya membantu aku menyiapkan tugasan tanpa mengeluh walau aku tahu kau kepenatan setelah pulang kerja. Terima kasih, sayang.

Sayang,

Hari itu entah mengapa aku berdegil, enggan mendengar katamu untuk menunggumu menjemputku, kau lewat atas urusan kerja. Aku sampai di rumah setelah lencun bermandikan hujan. Kau hanya diam, namun aku tahu ada rasa marah di pinggir hatimu kerana aku mengingkari arahanmu. Dalam kerlingan matamu kau diamkan saja apa yang terpendam di hati. Mungkin kerana keingkaran itu, aku diserang demam panas. Sungguh saat itu membuka mataku, mungkinkah kau tercipta untukku. Mungkin aku diciptakan dari rusukmu, untuk kau cintai, belai dan sayangi juga menjadi pelindung buat diri ini. Kaulah yang bersusah payah menjaga dan merawatku, manjaga makan minumku. Mengingati masa makan ubatku. Setelah aku memperlakukan dirimu tak selayaknya seorang suami kau masih mengambil berat tentang diri ini. Aku malu padamu dengan sikapku yang keanak-anakan. Saat kau dakap erat tubuhku, kala aku kedinginan, hati ini aku buka hanya untukmu. Memandang wajah lelahmu yang terlena disisiku menambah rasa yang mula bercambah. Saat itu aku berikrar, hati ini akan aku simpan hanya untuk dirimu menghuninya. Aku redha dengan ketentuan Ilahi. Pasti ada rahmat disebalik setiap kejadianya. Cinta itu mula membunga buatmu. Aku ingin menjadi isteri yang terbaik buatmu.

Sayang,

Kita mula berbaik setelah peristiwa itu. Kita menjadi sepasang kekasih yang baru dilamun cinta, tapi aku tetap dengan keegoanku. Tak pernah ingin melafazkan kata cinta. Tapi tulus hati ini hanya untukmu. Kita menjadi penagih cinta, berjalan-jalan sambil berpegangan tangan. Kau temani aku membeli belah. Sabarnya dirimu dengan kerenah ini, kita jelajahi setiap kedai demi memenuhi kehendakku. Kau tak mengeluh malah makin erat kau menggengam tanganku. Sesungguhnya aku yang hanyut dalam gelora asrama terus terbuai dengan rasa. Kita menjadi pandangan pasang-pasang mata yang mengimpikan hidup bahagia seperti yang kita sedang lalui. Namun kau terus menanti dan mengharap ucapan cinta dariku. Aku tetap sepi tanpa sebarang kata.

Sayang,

Saat kasihku makin mengharum buatmu, hati ini kembang dengan rasa cinta istimewa buatmu, aku rasa kau berubah. Aku yang berubah menjadi isteri yang baik hanya untukmu tidak lagi kau hiraukan. Kau semakin sibuk. Kerjamu di awal pagi, pulangmu lewat malam. Kala itu perkahwinan kita baru saja mencapai usia enam bulan. Hubungan yang baru dibina kian lesu, cinta yang baru bertunas kering tanpa disemai baja kasih sayang. Sungguh aku terluka kala aku tahu kau sebenarnya kembali menjalin hubungan dengan kekasih lamamu. Pelbagai cara aku lakukan demi menambat hatimu. Memasak makanan kegemaranmu, merancang acara istimewa bersamamu malah aku yang tak pernah pandai bersolek belajar mencalit warna-warna kewajah hanya untukmu, malah penampilan ini ku jaga rapi hanya untukmu insan yang ku panggil suami. Tak satu pun rancanganku yang berjaya. Aku mula putus asa. Tambah terluka, apabila aku terbaca sms kau kirimkan untuk dia, kau panggil dia sayang. Lantas di mana tempat aku ‘cintamu’ kerana itu gelaranku setelah kita berdamai. Aku menyerah sayang. Aku tumpukan pada peperiksaan akhir yang menjelma. Ya, kini pelajaran itu adalah segalanya. Akan aku gapai cita ini setelah cintaku kau tinggalkan.

Sayang,

Ketahuilah rasa sayang dan cintaku masih menggebu buatmu. Walau kasihmu sementara cuma buatku, ia umpama pelangi. Sebentar tapi menceriakan hidupku. Kenangan kita bersama umpama warna-warna terang dalam kanvas hidupku, memberi seri dan sinar. Aku akan terus menanti sinar kasihmu. Walau aku terluka dan merasa segala keperitan, tetap jauh disudut hati ini, hanya engkaulah Adamku. Selamanya kau di hati. Aku pergi bersama hati yang tersayat parah dan ingin aku ubati lukanya sendiri. Doaku tetap untukmu, agar kau akan terus berbahagia bersama dia yang engkau sayangi.aku mohon ampun darimu sayang, dosa ini kerana keluar tanpa pamitan dan izinmu. Andai aku permata yang kau cari aku sudi kembali padamu kerana di hati ini terukir namamu.

Sayang,

Batrisya

Perlahan Firdaus meraup wajahnya. Tidak disangka hati yang begitu keras pada pandanganya terlalu mudah tersentuh. Kerana dambakan ucapan cinta juga rasa ragu pada kesetiaan si isteri dia menjadi pelakon sempurna bersama Amira. Batrisya pergi membawa diri dengan sangkaan dia telah terbuang. Terasa pinggir matanya basah membaca warkah dari Batrisya. Walau pernikahan hanyalah sandiwara, namun dia terjerat dengan lakonan sendiri. Dia mula menyayangi Batrisya melihat sikap Batrisya yang tak mudah mengalah dan kuat semngat, malah dia tahu disebalik kekerasan ada kelembutan yang tersembunyi. Dia tahu ke mana arah tuju Batrisya. “Akan aku jejaki dirimu cintaku, kerana sesungguhnya hati kita telah lama bersatu”.



No comments:

Post a Comment