Saturday, August 6, 2011

6 Ramadhan…

Hari ini aku terfikir sendiri setelah selesai aku habiskan bacaan Al_Quran selepas subuh, adakah Ramadhan kali ini membawa barakah dan hikmat kepada diri ini. Setelah 6 hari ramadhan dan aku merasai kemanisan ramadhan sebenar. Bukan kerana aku dapat menikmati segala juadah yang aku ingini bukan juga kerana aku senang berada di rumah kerana segalanya tersedia untuk aku berbuka tapi kerana aku terasa ada kelainan ramadhan kali ini.

Terus terang memang aku amat bersyukur malah amat gembira saat aku berkira sendiri 5 bulan lalu tatkala aku tahu ramadhan tahun ini bakal di sambut di rumah bersama keluarga. Pelbagai perasaan bermain di jiwa waktu itu. Apa yang aku tahu ramadhan kali ini pasti bermakna. Ya, aku senang kerana kehendak dan keinginan aku pasti tercapai, bukan seperti tahun-tahun lepas. Berbuka seadanya apa yang terjual di bazaar yang meriah.

Tapi perbezaan ramadhan kali ini kerana aku tahu ada banyak ruang untuk diri sendiri, untuk DIA. Kalau tahun-tahun dulu pelbagai alas an aku kemukakan untuk lari dari bertaraweh, sejak di sekolah asrama, aku lari katanya ingin belajar, di university aku lari alasanya aku letih, maka taraweh aku lakukan sendiri, malah berselang seli jua itu pun andai ada rasa rajin yang datang. Aku lupa segala nikmat sebenar ramadhan.

Sungguh tahun ini, terasa sedih dan sayu jiwa ini tatkala hari demi hari ramadhan berlalu. Di sini, tiada alasan untuk aku lari dari bertaraweh. Tiada alasan juga untuk aku mungkir dengan bacaan ayat-ayat Allah. Kerana di sini hari ini, ramadhan ini, tiada apa yang perlu aku sibukkan, tiada apa jua yang aku kejarkan. Maka di sini terbuka peluang besar untukku bersungguh-sungguh memohon redha dan keampunan dari DIA yang aku sering abaikan kerana urusan duniawi. Sungguh aku lupa, walau sesibuk mana pun aku dengan segala urusan duniawi DIA masih lagi yang utama.

Mungkinkah masih ada yang di luar sana menanti usia senja, baru ingin mengejar segala amalan dan keredhaan dari DIA. Namun pernahkah kita terfikir masihkah ada usia senja untuk kita? Adakah peluang untuk kita melalui ramadhan akan datang? Masihkah terbuka peluang kita untuk mengutip rahmat dan barakah dariNYA? Seandainya tiba-tiba di tarik segala kudrat yang dipinjamkan kepada kita apakah segala amalan kita sudah mencukupi?

Menjawab semua persoalan yang aku sendiri timbulkan, mengundang rasa takut mengundang rasa cemas, maka apa lagi yang aku harus nantikan? Menanti panggilan dariNYA? Menanti seru dariNYA? Maka ramadhan ini aku harapkan dapat memberi perubahan kepada diri ini walau pun sedikit. Semoga aku tidak terus hanyut dengan nikmat kurniaNYA. Semoga ramadhan kali ini penuh dengan barakah. Dan aku berdoa moga dapat aku beristiqamah dalam memperbaiki diri ini.

No comments:

Post a Comment