Sunday, August 14, 2011

Bingkisan dari hati buat suamiku (bah. 2.1)

Penat berteleku menyelak lembaran kenangan, dia bangun mengadap pantai yang indah bergelora. Masih teringat dan terbayang setiap gelak dan tawa kala kebahagiaan menjengah lorong hidupnya. Bayu yang menyapa acap kali membawanya terbang ke langit tujuh saat segala kemanisan di hirup hinggakan dia lupa yang langit tak selalunya cerah dan kebahagiaan itu tak selamanya akan membaluti hidupnya. Silapkah dia menyemai rasa cinta buat suami sendiri. Perlahan Batrisya menyapu air mata. Tak pernah kering-kering mengalir dari saat pertama kali dia melangkah ke situ. Namun kerjanya sebagai penyambut tetamu di Chalet Kenangan, sedikit mengubat kedukaan. Berdepan dengan pelbagai situasi dan manusia yang pelbagai ragam membuatkan dia terlalai dan terlupa sebentar akan hati yang terluka. Kebelakangan itu dia sudah berkenalan dengan seorang jejaka utara yang selalu menghiburkan kesepian hidupnya, namun sebaris nama itu tak mungkin akan pernah terpadam dan dia selalu sedar akan batasan sebagai seorang isteri orang. Tak pernah dia memberi harapan walau pun dia tahu bahawa si jejaka sudah tertarik kepadanya. Seringkali Batrisya tegaskan hubungan itu sekadar jalinan sebuah persahabatan. Namun tak siapa jua yang tau status sebenarnya dirinya. Yang umumnya mereka tahu hati Batrisya sudah terisi, sejauh mana hubungan Batrisya dengan si pemilik sekeping hatinya mereka sendiri masih samar-samar.

Bagi Afiq, selagi belum mendapat kata putus dari Batrisya dia tak akan terus berputus asa. Dia akan terus merayu dan memujuk sekeping hati yang susah benar untuk dijengah itu. Matahari yang semakin tenggelam, mengembalikan Batrisya ke dunia sebenar, dia masuk ke bilik dan menutup pintu gelongsor. Dia ingin segera mandi kerana teringatkan janji untuk makan bersama keluarga Faiza. Sepupunya, pemilik Chalet Kenangan yang diusahakan bersama suaminya. Hasil cinta yang lama dipupuk setelah menghadapi pelbagai dugaan akhirnya bersatu jua. Dia juga sering berdoa, agar satu hari nanti dia juga akan mengecapi kebahagian bersama Firdaus setelah melewati batas-batas penuh kedukaan dan kesedihan.

No comments:

Post a Comment