Tuesday, August 30, 2011

Selamat Hari Raya Idul Fitri!!!

Hari ini satu Syawal, seharusnya kita umat Islam menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, bermakna tamatnya ramadhan dan mengahrapkan segala amalan yang dilakukan selama ramadhan ini di terima Allah. Hari kemenangan setelah sebulan kita melayan segala dugaan hawa nafsu; makan, minum, tidur, berbelanja dan pelbagai lagi. Bagi yang Berjaya melawan semua dugaan pastinya rasa syukur padaNya kerana telah diberikan kekuatan untuk meghadapi segalanya.

Hari ini tidak seperti tahun-tahun lepas, masjid tidak sesesak mana. Tidak seperti tahun terdahulu di mana masjid sesak hingga tiada tempat untuk solat. Mungkin banyak anak desa yang tidak dapat pulang menjenguk ayah dan ibu di kampung kerana tuntutan kerja atau juga kerana tahun ini giliran beraya di rumah mertua. Terdengar khutbah dari imam yang memberi peringatan kepada anak-anak qariah tentang kewajipan kita individu terhadap ibu, bapa, anak, isteri, suami dan tidak lupa juga pada yang telah tiada.

Syawal ini membangkitkan kerinduan dan kesayuan pada dia yang sudah tiada. Sudah hampir 5 tahun dia pergi namun apa yang ada di hati ini semuanya kenangan yang masih panas, seolah dia baru saja pergi meninggalkan diri ini. Segala yang manis tentang dia masih lagi tersemat dalam hati ini. Kadang pernah aku terfikir alangkah indahnya Syawal ini bersama dengan dia di sisi. Indahnya sebuah memori memang tak akan pernah hilang dari minda ini, akan ku bawa hingga akhri hayat.

Aku mengharapkan agar aku dapat merasa tradisi hari raya seperti mereka yang lain, menziarahi sanak saudara dan juga handai taulan, tapi pada siapa ingin aku tuju, kerana di hati ini tiada siapa jua yang dapat aku benar-benar jadikan sahabat atau juga sanak saudara yang benar aku panggil saudara. Alangkah indah andai kata aku punya sahabat-sahabat yang memang benar-benar aku gelar sahabat, pastinya raya kali ini meriah dengan kunjungan dan juga pelbagai cerita yang bakal di kongsi. Sanak saudara juga begitu setelah masing-masing berkerjaya, maka kita telah punya haluan sendiri tak sempat lagi berbual mesra seperti dahulu.

Dan Syawal kali ini tetap aku sendiri menganyam impian, tetap aku sendiri sepi di sini. Semoga Syawal ini membawa sinar bahagia dalam hidup yang sepi ini.

No comments:

Post a Comment