Monday, October 10, 2011

Tentang cinta, hati dan perasaan.

Ingin aku bicarakan soal cinta di hati yang berpaksikan pada perasaan sayang. Cinta, hati dan perasaan tak mungkin dapat untuk di pisahkan. Cinta datang dari hati dan dari hati jua wujudnya perasaan. Perasaan berubah-ubah mengikut hati. Hati akan berubah sendiri seiring dengan masa dan waktu, namun kita tak akan mungkin dapat mengubah hati hanya dengan nasihat dan kata-kata. 

Kerana asalnya cinta dan perasaan dari hati , maka cinta tak mungkin dapat di ubah dengan sekelip mata hanya dengan kata-kata. Dan perasaan juga tak mungkin berubah dalam hanya sedetik waktu. Ada pepatah menyamakan hati manusia dengan laut, benar kata pepatah andai benar di amati, walau berubah namun perlukan masa yang lama dan kita tak mungkin juga melihat hati itu berubah. 

Berbicara soal cinta juga sukar. Ada yang mudah berubah cintanya, ada yang hingga seribu tahun pun tak mungkin dapat jua berubah cintanya. Maka bicara hal cinta, hati dan perasaan tak mungkin dapat di mengerti walau kita membaca jutaan buku, atau juga menyiapkan jutaan kajian, atau juga tak akan pernah selesai dengan pelbagai teori. Soal cinta, hati dan perasaan itu sangat unik. Walau manusia itu sendiri tak mungkin dapat menyelesaikan masalah cinta, hati dan perasaannya. 

Aku di sini, aku melihat mereka kecewa. Aku melihat mereka menangis, aku melihat mereka merintih, maka apa yang ada di hati ini. Aku hanya mampu melihat walau tak sejernih mana, mampu merasa walau tak sepahit mana, mampu menangis walau tak sehebat mana, mampu merintih walau tak sekuat mana. Aku tak mungkin akan faham, aku tak mungkin tahu apa di hati mereka, aku tak mungkin menalah apa di hati mereka, walau sebanyak mana jua aku melihat tangisan mereka, walau sebanyak mana pun aku melihat tangisan mereka, walau sebanyak mana pun aku mendengar keluhan mereka. Soal cinta, hati dan perasaan tak mungkin akan dapat aku selami selagi aku bukan mereka, selagi aku masih aku. 

Bukan tak ingin aku fahami, tapi aku maklum walau sekuat mana aku mencuba untuk memahami mereka beban itu tetap jua tidak akan pernah sama. Walau sebanyak mana aku cuba merasa sakitnya hati mereka, aku tetap tidak akan sampai ke tahap luka di hati mereka. Maka aku ingin menjadi pendengar setia, menyinari hari mereka yang suram, cuba mewarnai hari mereka yang mula pudar, cuba menemani hari mereka yang sunyi. Aku tak mungkin memberi nasihat kerana aku sendiri tak pasti apa yang perlu aku nasihatkan, aku tak mungkin memberi semangat kerana aku tak pasti apa yang patut aku katakana, maka yang tersimpan di hati ini, hanya perasaan kasihan, perasaan kesedihan, perasaan hiba menyaksikan kesakitan itu, menyaksikan kelukaan itu, menyaksikan bebanan itu. 

Maaf tak mampu aku menyelami hatimu teman. Maaf tak mampu aku merasai sakitmu teman. Maaf tak mampu aku menandingi deritamu teman. Namun aku akan tetap di sisimu, namun aku akan setia di sisimu, namun aku akan gagah di sisimu. Andai satu masa kau tak mampu lagi bertahan, kau tak mampu lagi berdiri, kau tak mampu lagi tersenyum, aku masih ada menjadi pendampingmu, aku masih ada menjadi tongkatmu, aku masih ada menjadi cahaya pada harimu.

No comments:

Post a Comment